Hadis 40

Hadis 1
Setiap amalan bergantung pada niatnya

Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bahawasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan bahawasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya."


Diriwayatkan oleh, Abu `Abdullah Muhammad ibn Ismaa`eel ibn Ibraheem ibn al-Mugheera ibn Bardizbah al-Bukhaaree Bukhar) dan Abu-l-Husain Muslim ibn al-Hajjaaj ibn Muslim al-Qushairee an-Naisaaburee (Muslim), di dalam kedua-dua sahihnya, yang kedua-duanya merupakan kitab yang utama

Hadis 2
Penjelasan Mengenai Iman, Islam dan Ihsan


Dari Umar Ibnul-Khattab r.a, katanya: Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba mucul di dalam majlis itu seorang laki-laki yang berpakaian serba putih, berambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk ia bersama Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Rasulullah SAW serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua paha Rasulullah SAW, lalu berkata si pemuda: Khabarkan aku tentang Islam?

Rasulullah: Islam, iaitu hendaklah mengucap syahadat - bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Ta'ala dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan hendaklah bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah apabila mampu ke sana.

Si pemuda: Benar katamu.
(Berkata Umar r.a: Kami merasa hairan kepada tingkah laku si pemuda itu, dia yang bertanya dan dia pula yang mengiyakannya)

Si pemuda: Khabarkanlah kepada ke tentang Iman.

Rasulullah: Hendaklah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir Allah yang baik-Nya atau yang buruk-Nya.

Si pemuda: Benar katamu! Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan.

Rasulullah: Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihat-Nya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau.

Si pemuda: Khabarkan padaku tentang hari kiamat.

Rasulullah: Tiadalah orang yang ditanya itu lebih mengetahui dari orang yang bertanya.

Si pemuda: Khabarkan padaku tentang tanda-tandanya.

Rasulullah: Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala kambing (berbangga) membina bangunan yang tinggi-tinggi.
(Kemudian beredar keluar si pemuda itu dari majlis tersebut)

Rasulullah: Tahukah anda wahai Umar siapakah pemuda yang menyoal kau tadi?

Umar Al-Khattab: Allah dan Rasul-Nya jua yang mengetahui.

Rasulullah: Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu.


Riwayat Muslim

Hadis 3
Mengenai Rukun Islam

Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Umar r.a, berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ' Islam itu didirikan atas lima (pekara) - Menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, naik haji ke Baitullah dan puasa sebulan Ramadhan.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Hadis 4
Amalan adalah sehingga tindakan terakhirnya

Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya: Sesungguhnya sesaorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat pekara: rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya sesaorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu.


Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Hadis 5
Amalan yang tertolak

Daripada Ummul Mukminin, Ummi Abdullah Aisyah r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama yang bukan darinya adalah tertolak".


Diriwayatkan dari Al-Bukhari dan Muslim. Dan pada riwayat yang lain oleh Imam Muslim: "Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak dari perintah kami, maka ia adalah tertolak.

Diriwayatkan oleh Bukari dan Muslim dan dalam riwayat Muslim: 'Barangsiapa mengerjakan satu pekerjaan yang tidak cocok dengan cara kami', maka hal itu tertolak'

Hadis 6
Yang Haram dan Yang Halal itu Jelas

Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya: saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu terang (jelas) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat perkara-perkara yang syubahat (tidak terang halal atau haramnya) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari perkara-perkara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam perkara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam perkara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati."

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Hadis 7
Agama Itu Nasihat

Dari Abu Ruqayah Tamim bin Aus Ad-Dhari r.a, bahawasanya Nabi SAW bersabda: "Agama itu adalah nasihat. Kami sekelian bertanya: "Untuk siapa?" Maka jawab Rasulullah saw: "Bagi Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan bagi penganjur-penganjur kaum Muslimin dan orang awamnya."

Diriwayatkan oleh Muslim

Hadis 8
Kewajipan Seorang Muslim

Dari Ibn Umar r.a, bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: "Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengaku tiada tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, memberi zakat, maka jika mereka melakukan semua itu akan terselamatlah darah dan harata benda mereka dariku, kecuali yang mana ada hak Islam padanya dan perkiraan mereka terserahlah kepada Allah Ta'ala."

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Hadis 9
Pematuhan Adalah Mengikut Kemampuan

Dari Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhar r.a: " Bahawa saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: ' Apa yang aku larang kamu lakukan maka hendaklah kamu tinggalkannya, dan apa yang aku perintahkan kamu lakukan hendaklah kamu lakukan sekadar kemampuan kamu. Sesungguhnya telah binasa umat-umat yang sebelum kamu disebabkan terlalu banyak bertanya serta pertelingkahan mereka terhadap Nabi-Nabi mereka.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim


Hadis 10
Perkara Yang Halal: Syarat Pemakbulan Doa

Dari Abu Hurairah r.a: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah Ta'ala itu baik, dia tidak akan menerima melainkan yang baik sahaja. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum Mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para Mursalin (para Rasul). Allah berfirman: "Wahai para Rasul, makanlah dari yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang saleh." Dan Allah berfirman lagi: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik yang Kami berikan kepada kamu." Kemudian Rasulullah SAW mengisahkan tentang seorang lelaki yang telah belayar jauh. Rambutnya kusut, berdebu, mengangkat kedua belah tapak tangannya ke langit serta memohon: Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedangkan makanannya dari yang haram, minumannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan dia telah dikenyangkan dari sumber yang haram. Alangkah jauhnya dia (doanya) untuk dikabulkan."

Diriwayatkan oleh Muslim

Hadis 11
Berhati-hati Terhadap Perkara yang Meragukan

Dari Abu Muhammad, Al-Hasan bin Ali bin Abu Talib, cucu Rasulullah SAW dan kesayangannya r.a yang berkata: "Aku menghafal dari Rasulullah SAW: "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada yang tiada meragukanmu."

Diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan An-Nasaa'ee, dengan At-Tirmidhee berkata hadith ini Hasan Sahih.

Hadis 12
Tinggalkan Perkara yang Sia-Sia

Dari Abu Hurairah r.a katanya: "Telah bersabda Rasulullah SAW: "Sebaik-baik Islam seseorang itu adalah peninggalannya tentang apa yang tiada kena mengena dengannya."

Hadith Hasan riwayat At-Tarmizi dan Ibn Majah

Hadis 13
Saling menyintai Sesama Muslim

Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, khadam kepada Rasulullah SAW, bersabda Nabi SAW: "Tiada beriman sesaorang kamu, sehinggalah ia mencintai saudaranya sama seperti ia menyintai dirinya sendiri."

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Hadis 14
Halangan Membunuh Seorang Muslim dan Kekecualiannya

Dari Ibnu Mas'ud r.a, katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW: "Tiada dihalalkan darah seorang Muslim (yang mengucap Tiada Tuhan melainkan Allah dan Aku ini Pesuruh Allah), kecuali atas satu dari tiga sebab: Orang yang berkahwin yang berzina, pembunuh dibalas bunuh dan orang yang meninggalkan agamanya yang memisahkan diri dari jemaah."

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Hadis 15
Perlakuan Seseorang yang Beriman

Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik atau berdiam diri. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berbuat baik kepada jiran tetangganya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah menghormati tetamunya."

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Hadis 16
Larangan untuk Marah

Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya ada seorang telah berkata kepada Nabi SAW: "Nasihatilah kepadaku!" Dijawab oleh Nabi SAW: "Jangan marah!" Orang itu berulangkali meminta supaya dirinya dinasihati, maka tetap Rasulullah SAW mengatakan: "Jangan marah!"

Diriwayatkan oleh Bukhari

Hadis 17
Perintah untuk Sembelih Secara sempurna

Dari Abi Ya'la Syaddad bin Aus r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) terhadap semua perkara. Seandainya kamu membunuh, maka bunuhlah secara sempurna, dan apabila menyembelih maka elokkanlah penyembelihan. Hendaklah sesaorang kamu menajamkan mata pisaunya dan merehatkan penyembelihannya."

Diriwayatkan oleh Muslim

Hadis 18
Perilaku yang Baik

Dari Abu Dzar, Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman, Muaz bin Jabal r.a, dari Rasulullah SAW, sabdanya: "Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada. Iringkanlah perbuatan jahat itu dengan perbuatan baik, mudah-mudahan yang baik itu akan memadam yang jahat. Dan berperangai kepada manusia dengan perangai yang bagus."

Diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan ia telah berkata: Itu adalah Hadith Hasan dan dalam sebahagian kitab disebutkan: Hasan Sahih

Hadis 19
Ingat Allah, Maka Allah Mengingatimu

Dari Abu Abbas, Abdullah bin Abbas r.a: Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW (di atas binatang tunggangannya), lalu sabda baginda: "Wahai anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan. Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah (kehormatan) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu manfaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi manfaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam (tulisan) dan telah kering (tinta) buku catitan."

Diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan ia telah berkata: Itu adalah hadith hasan Sahih dan di dalam riwayat selain Tirmizi:

Jagalah (peliharalah) kenangan ingatan pada Allah, pasti engkau mendapati-Nya di hadapanmu. Hendaklah engkau mengenal Allah di waktu lapang (senang), pasti Allah akan mengenal engkau di waktu engkau susah (sempit).
Ketahuilah bahawa apa yang harus menyuimpang (tidak mengenali) padamu, tidak akan mengenai engkau, dan apa yang harus mengenai engkau tidak akan menyimpang padamu. Dan ketahuilah sesungguhnya kemenangan ada berserta kesabaran, dan sesungguhnya kesenangan dan kesulitan itu ada bersamanya kemudahan.

Hadis 20
"Malu" Adalah dari Iman

Dari Abu Mas'ud, Uqbah bin Amru Al-Anshari Al-Badri r.a, katanya: "Telah bersabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya dari apa yang telah didapati oleh manusia dari kata-kata kenabian yang pertama ialah: Jika engkau tiada malu, buatlah sesuka hati kamu."

Diriwayatkan oleh Bukhari

Hadis 21
Beriman Kepada Allah dan Istiqamahlah

Dari Abu Amru dan dikatakan pula dari Abi Amrah Sufyan bin Abdullah r.a, katanya: "Saya pernah bertanya Rasulullah SAW: Ajarkanlah kepadaku suatu ajaran mengenai Islam, yang tidak akan aku tanyakan lagi daripadanya akan seorang yang selain daripada engkau". Sabda Rasulullah SAW: "Katakanlah, aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah."

Diriwayatkan oleh Muslim

Hadis 22
Masuk Syurga

Dari Abu Abdullah, Jabir bin Abdullah Al-Anshari r.a, bahawasanya telah bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: "Apa pendapatmu jika aku menunaikan semua sembahyang fardhu, dan aku berpuasa sebulan Ramadhan, dan aku halalkan yang halal dan aku haramkan yang haram, dan aku tidak menambahkan suatu atas demikian itu, adakah aku masuk syurga? Jawab Rasulullah SAW : Ya."

Diriwayatkan oleh Muslim

Hadis 23
Ke Arah Melakukan yang Baik Serta Pembahagian Manusia

Dari Abu Malik Al-Hariths bin Ashim Al-Ashya'ri r.a, katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW: '"Suci itu sebahagian daripada iman, dan Alhamdullilah memenuhi timbangan, dan Subhanallah Wal-Hamdulillah pula akan memenuhi ruang antara langit dan bumi. Dan sembahyang itu cahaya, dan sedekah itu bukti, dan sabar itu sinaran dan Al-Quran itu dalil bagimu atau atasmu. Setiap manusia berusaha, ada yang menjual dirinya, ada yang memeliharanya dan ada yang membinasakannya."

Diriwayatkan oleh Muslim

Hadis 24
Larangan Melakukan Kezaliman

Dari Abu Dzar Al-Ghafiri r.a, dari Nabi SAW yang meriwayatkan dari Tuhannya Allah Azzawajalla, bahawasanya Tuhannya telah berkata: "Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya aku telah mengharamkan penganiayaan atas diri-Ku, dan Aku jadikan haram di antara sesama kamu, maka janganlah kamu aniaya-menganiayai.

Wahai hamba-hamba-Ku! Kamu sekalian sesat, kecuali siapa yang telah Aku berikan hidayah kepadanya. Maka hendaklah kamu minta hidayat daripada-Ku, nescaya Aku akan memberi hidayat itu kepadamu.

Wahai hamba-hamba-Ku! Sekelian kamu lapar kecuali siapa yang telah Aku berikan makanan kepadanya, maka hendaklah kamu sekelain meminta makan daripada-Ku, nescaya Aku akan beri kamu makan.

Wahai hamba-hamba-Ku! Sekelian kamu bertelanjangan, kecuali sesiapa yang aku berikan pakaian, maka mintalah pakaian daripadaKu.

Wahai hamba-hamba-Ku! Sekelian kamu membuat kesalahan pada waktu malam dan siang dan Akulah yang sahaja yang mengampunkan segala dosa. Maka mintalah keampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampunkan segala dosa-dosa kamu.

Wahai hamba-hamba-Ku! Kamu sekelian tidak mampu merancang sesuatu mudharat untuk memudharatkan Aku, dan kamu tidak mampu merancang sesuatu manfaat untuk memanfaatkan Aku.

Wahai hamba-hamba-Ku! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu bersatu, sama ada dari jenis manusia atau jin, semuanya bertaqwa seperti taqwanya hati seorang manusia di antara kamu, nescaya yang demikian itu tidak akan menambahkan barang sedikit pun pada kerajaan-Ku.

Wahai hamba-hamba-Ku! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu bersatu, sama ada dari jenis manusia atau jin, semuanya berhati jahat seperti jahatnya hati seorang manusia di antara kamu, nescaya yang demikian itu tidak akan mengurangkan barang yang sedikit pun pada kerajaan-Ku.

Wahai hamba-hamba-Ku! Jika sekiranya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian di antara kamu bersatu, sama ada dari jenis manusia atau jin, semuanya berkumpul pada sebuah tanah lapang lalu masing-masing meminta pada-Ku, nescaya Aku akan memperkenankan kepada tiap-tiap seorang itu akan permintaannya, nescaya yang demikian tidak akan mengurangkan sedikit pun dari apa yang Aku miliki, melainkan seperti terkurangnya sebatang jarum yang jatuh ke dalam laut.

Wahai hamba-hamba-Ku! Sebenarnya semua itu adalah amalan-amalan kamu yang Aku catitkan bagi kamu sekelian, kelak di kemudian hari akan Aku balas atas tiap-tiap satu daripadanya. Oleh itu, barangsiapa menerima kebaikan hendaklah ia memuji Allah dan barangsiapa yang menerima sebaliknya janganlah ia mencela kecuali dirinya sendiri."

Diriwayatkan oleh Muslim

Hadis 25
Makna Sedekah dan Ganjarannya

Dari Abu Dzar Al-Ghafiri r.a jua, bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat Rasulullah SAW, bertanya kepada Nabi SAW: "Wahai Rasulullah! Orang-orang kaya telah lebih banyak mendapat pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, berpuasa sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah pula dengan harta kekayaan mereka yang lebih itu."

Bersabda Nabi SAW: "Bukankah Tuhan telah menunjukkan kamu cara-cara bagaimana kamu boleh bersedekah? Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedekah, dan tiap-tiap takbir itu sedekah, dan tiap-tiap tahlil itu sedekah, dan pada tiap-tiap tahmid itu sedekah dan pada tiap-tiap tahli itu sedekah, dan menyuruh berbuat kebaikan itu sedekah dan melarang membuat kejahatan itu sedekah, dan persetubuhan seseorang dengan isteri juga sedekah."

Bertanya para sahabat: "Ya Rasulullah! Adakah sesaorang kami yang memuaskan syahwat dengan isterinya mendapat pahala juga?"

Bersabda Rasulullah SAW: "Apakah pendapat kamu sekiranya seseorang itu melepaskan syahwatnya pada yang haram, adakah dosa atasnya? Demikianlah pula, jika ia melepaskan syahwatnya pada yang halal, adalah baginya pahala."

Diriwayatkan oleh Muslim

Hadis 26
Lagi tentang Sedekah, Mendamaikan Orang dan Membantu Orang Lain

Daripada Abu Hurairah r.a: Bahawa Nabi SAW telah bersabda: "Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah. Dan engkau menolong sesaorang menaiki tunggangannya atau pun engkau menolong mengangkat baginya barang-barang ke atas tunggangannya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. Dan pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah."

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Hadis 27
Kebajikan dan Dosa Dirasai di hati

Dari An-Nawwas bin Sim'an r.a, dari Nabi SAW yang bersabda: Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik. Dan dosa pula adalah apa yang tersimpul di dalam diri engkau dan engkau benci bahawa ia diketahui manusia mengenainya."

Riwayat Muslim

Dari Abi Wabishah bin Ma'bad r.a: "Bahawa aku datang kepada Rasulullah SAW lalu banginda bertanya: 'Engkau datang bertanyakan erti kebajikan?" Aku menjawab: 'Ya'. Sabda Rasulullah SAW lagi: 'Tanyalah hati engkau. 'Kebajikan itu ialah apa yang mententeramkan diri engkau kepadanya serta mententeramkan hati. Manakala dosa pula ialah apa yang mengganggu jiwa dan meragui dalam dada, walaupun orang ramai telah memberikan engkau fatwa dan terus menfatwakan sesuatu."

Ini adalah "Hadith hasan", yang kami riwayatkan tersebut di dalam Musnad dua Imam Ahmad bin hanbal dan Addarimi dengan Sanad Hasan

Hadis 28
Kewajipan Mengikut Sunnah

Dari Abi Najih bin Al-Irbadh bin Sariyah, katanya: "Rasulullah SAW telah memberikan suatu nasihat kepada kami yang menggeletarkan hati dan menitiskan air mata. Maka kami berkata kepadanya: "Wahai Rasulullah, seolah-olah ini suatu nasihat yang terakhir, maka berikanlah kepada kami suatu pesanan. 'Sabda Rasulullah SAW: 'Saya berpesan kepada kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah Azza wajalla serta mendengar dan taat sekalipun kepada seorang hamba yang memerintah kamu. Sesungguhnya orang-orang yang masih hidup di antara kamu akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan dan sunnah Khalifah Ar-Rasyiddin Al-Mahdiyyin yang beroleh petunjuk (daripada Allah) dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu (berpegang teguh dengannya dan jangan dilepaskan sunnah-sunnah itu). Dan jauhilah kamu dari perkara-perkara yang diadakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bida'ah itu menyesatkan."

Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi dan ia berkata: Ia adalah Hadith Hasan Sahih

Hadis 29
Apa yang Memasukkan Seseorang ke Syurga

Dari Muaz bin Jabal r.a, berkata: "Khabarkan kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku masuk ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka."

Jawab Nabi SAW: "Sebenarnya engkau telah bertanya suatu perkara yang besar, dan sesungguhnya amat mudah sekali bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah Ta'ala, iaitu: Hendaklah engkau menyembah Allah dan tidak menyengutukan-Nya dengan suatu yang lain. Engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa sebulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah." Kemudian beliau berkata: "Inginkah engkau kuberi petunjuk kepadamu akan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu adalah perisai dan sedekah itu menghapuskan kesalahan, sebagaimana air memadamkan api dan sembahyang seseorang di tengah malam. Kemudian beliau membaca ayat "tataja-fa-junubuhum 'anil ma-dho'ji' hingga sampai ya'malun (Surah As Sajdah ayat 16 dan 17).

Kemudian Nabi bersabda lagi: "Mahukah engkau aku khabarkan pokok amalan, tiangnya dan kemuncaknya?" Aku menjawab: "Mahu, ya Rasulullah." Sabda baginda: "Pokok amalan ialah Islam, tiangnya ialah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad."

Kemudian Nabi bersabda lagi: "Mahukah engkau aku khabarkan kunci kepada semua perkara ini?" Aku menjawab: "Mahu, Ya Rasulullah." Lalu baginda memegang lidahnya seraya berkata: "Awas, jaga ini baik-baik."

Aku bertanya: "Ya Rasulullah, adakah kami akan dituntut kerana berkata dengannya?" Baginda lalu menjawab: "Dan tidak akan dicampakkan manusia ke atas muka mereka atau batang hidung mereka ke dalam neraka, melainkan hasil tutur bicara mereka."

Diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan ia berkata: Ia adalah Hadith ini Hasan Sahih

Hadis 30
Larangan Melanggar Batas dan Hak Allah Taala

Dari Abi Tsa'labah Al-Khusani, Jurthum bin Nashir r.a, daripada Rasulullah SAW, yang bersabda: "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memfardhukan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu mengabaikannya. Dan ia telah menetapkan beberapa hudud (batasan), maka janganlah kamu melampauinya. Dia telah mengharamkan beberapa benda maka janganlah kamu melanggarnya. Dan Dia telah mendiamkan beberapa perkara sebagai suatu rahmat terhadap kamu, bukan kerana lupa maka janganlah kamu membahas mengenainya."
Hadith Hasan diriwayatkan oleh Addaraquthni dan lain-lain

Hadis 31
Zahid: Amalan yang Dicintai Allah

Dari Abu Abbas, Sahil bin Saad As-Sa'idd r.a, berkata: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya: 'Ya Rasulullah, tunjukkan aku suatu amalan, sekiranya aku buat, nescaya aku dicintai oleh Allah dan orang ramai.'

Maka dijawab Nabi: "Hendaklah zahid di dunia, nescaya engkau dicintai oleh Allah dan engkau zahid pada apa yang ada di sisi manusia, maka nescaya engkau dicintai oleh orang ramai."

Hadith Hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lainnya dengan sanad-sanad yang Hasan

Hadis 32
Tidak Mudharat dan Tidak Memudharatkan

Dari Abi Said Sa'd bin Malik bin Sinan Al-Khudri r.a, bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tiada mudharat dan tiada memudharatkan."

Hadith Hasan diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Daraqutni dan lain-lainnya dengan sanad, dan diriwayatkan oleh Malik dalam kitabnya Muwaththa sebagai hadith mursal daripada Amr bin Yahya daripada bapanya daripada Nabi sallalahu alaihi wassalam maka ia meniadakan Abi Said. Dan (hadith ini) ada mempunyai beberapa jalan, tiap-tiap satunya menguatkan yang lain.

Hadis 33
Kepentingan Saksi dalam Tuntutan

Dari Ibn Abbas r.a bahawa Nabi SAW pernah bersabda: "Jika dilayankan setiap orang dengan tuntutannya, nescaya ada orang yang menuntut harta benda orang lain dan ada pula yang menuntut darahnya. Akan tetapi yang menuntut itu harus menbawa saksi, manakala yang memungkiri harus bersumpah."

Hadith Hasan diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dan lainnya demikian. Dan sebagainya di dalam Asshohihain

Hadis 34
Mencegah Kemungkaran

Dari Abi Said Al-Khudri r.a, katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya (nasihatnya). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya (tidak meredhai perbuatan tersebut). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.

Diriwayatkan oleh Muslim

Hadis 35
Orang Islam Itu Bersaudara

Dari Abu Hurairah r.a, katanya: "Telah bersabda Rasulullah SAW: 'Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan jangan kamu tipu-menipu, dan jangan benci-membenci, dan jangan musuh-memusuhi, dan jangan kamu berjual beli atas jual beli setengah yang lain, dan jadilah kamu sekelian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.

Seorang Muslim adalah bersaudara sesama Muslim, tidak boleh menganiayanya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustainya dan tidak boleh menghinainya.

Taqwa itu berpunca dari sini - sambil Nabi SAW menunjukkan ke dadanya tiga kali. Sudah memadailah kejahatan seorang itu jika ia menghina saudaranya yang Islam. Seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain diharamkan darahnya, harta bendanya dan kehormatannya."

Diriwayatkan oleh Muslim




Share/Bookmark

No Response to "Hadis 40"

 
Blog Widget by LinkWithin

Copyright © 2009 Hidup Tanpa Penghujung All rights reserved.
Converted To Blogger Template by Anshul Theme By- WooThemes