Allah Nampak Tau..

Teringat zaman kanak-kanak dulu..
Bila berpuasa macam macam hal akan timbul..
Sambil menyelam, minum air tu perkara biasa..
Bukan pepatah tau, memang betul menyelam dlam sungai, sambil sambil sedut air.
Bila naik jer ke daratan, muka tersenyum puas..tekak telah basah dek air sungai..

manis sungguh zaman sebelum baligh itu..

petikan berikut dipetik dari Bersama Mazidul

Sewaktu kecil, Ramadhan mempunyai pengertian tersendiri. Diakui,
menahan diri daripada dahaga, antara cabaran terhebat berpuasa di zaman
kanak-kanak.

Telan atau tidak? Persoalan menerjah minda setiap kali mandi
tengahari di sungai berair jernih di depan rumah. Air sungai berbatu mengalir
dingin dari gunung terasa mencabar kekeringan tekak. Telan atau tidak?

“Kalau tak puasa orang lain tak nampak tapi Tuhan nampak,” kata
emak.

Air diceduk menggunakan tangan kecil, tiba-tiba menitis, tiris di
celah jari basah.

Sejuk akibat penat berenang dan menyelam, perut semakin lapar,
hampir kebuluran. Tekak kering kontang bagai air perigi di musim kemarau.
Perlahan berjalan menyelinap ke belakang rumah, berdiri merenung buah rambutan
masak ranum tinggi di ranting pokok. Rambutan berkulit merah, lekang berair dan
manis. Perlahan galah buluh dicapai, rambutan dikait, jatuh ke tanah satu
persatu.

“Apa fasal menjolok rambutan pula tengahari?,” jerit emak dari
dapur.

Tiba-tiba rambutan di genggaman terjatuh sendiri bagai ditarik
graviti.

“Untuk berbuka mak”Alasan spontan terpancul dari mulut berbibir
kering.

“Berbuka apanya? Ini baru pukul 1 tengahari,” balas emak
bersahaja.

Di rumah, emak sibuk memasak kuih bahulu. Kepulan asap kulit
kelapa diletak di atas tudung periuk, ditiup dek angin menerjah tingkap.
Percikan api berterbangan umpama kelip-kelip di waktu malam.

“Aduh! Api masuk mata mak!”“Pergi basuh mata di kolah tu.

Melayan awak, sampai bila kuih nak masak,” rungut emak.

Berlari menuju bilik air, tangan pantas mencapai gayung terapung.

Hati melonjak ceria, peluang muncul lagi buat kesekian kalinya. Air kolah terasa
sejuk. Tekak meraung minta dibilas. Haus keterlaluan. Minum atau tidak?

“Basuh mata, bukan tekak,” nada suara emak sederhana.

Emak bagai memiliki deria ke enam.

Gayung di tangan tiba-tiba terjatuh semula ke kolah.

“Tuhan nampak apa kita buat,” sambungnya.

Saya tersenyum sendiri.Kini Ramadhan tiba lagi.

Isteri mengingatkan dua anak kecil berulangkali.

“Puasalah selagi terdaya. Jangan mengelat, Tuhan nampak”

Saya tersenyum sekali lagi.

Semoga Ramadhan kali ini lebih sempurna berbanding sebelumnya.


Share/Bookmark

1 Response to Allah Nampak Tau..

August 26, 2009

nice..

 
Blog Widget by LinkWithin

Copyright © 2009 Hidup Tanpa Penghujung All rights reserved.
Converted To Blogger Template by Anshul Theme By- WooThemes